Sunday, December 26, 2010

BAHASA ROJAK

(This is a post in Bahasa Melayu, since I learn this course for this semester)


Hari ini, saya mahu menulis dengan gaya bahasa Melayu yang betul. Mahu atau tidak, inilah kursus yang perlu saya ikuti untuk semester ini. Malang atau untung? Terlalu awal untuk mengatakannya. Mungkin juga ianya sesuatu yang baik memandangkan telah begitu lama saya tidak berbicara atau menulis dalam bahasa Melayu yang betul. Justeru itu, saya mahu menganggap ini sebagai satu peluang yang baik bagi saya untuk memperbaiki bahasa ibunda saya.

Baru-baru ini, kelas saya telah diberi suatu tugasan, iaitu mencari bahan-bahan mengenai isu bahasa rojak yang semakin lama dilihat semakin merosakkan bahasa Melayu. Bahasa rojak ini bukanlah suatu masalah yang baru, tetapi isu ini telah timbul sejak dahulu lagi. Percaya atau tidak, sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, bahasa rojak telah digunakan dalam komunikasi antara para pedagang antarabangsa dan rakyat tempatan. Cuma lewat ini, isu ini dikatakan telah semakin berleluasa sehingga ke tahap yang membimbangkan. Media cetak dan elektronik turut tidak menitikberatkan isu ini. Segala papan-papan tanda dan iklan turut seakan-akan menggalakkan penggunaan bahasa rojak ini. Masakan masyarakat kini semakin menggunakannya. Oleh itu, pada pendapat saya, pihak-pihak berwajib perlu terlebih dahulu memainkan peranan dalam membendung masalah ini sebelum menyalahkan pihak-pihak lain.

Terfikir saya sejenak, mengapa masyarakat muda kini tidak begitu tertarik dengan bahasa ibunda sendiri, malah lebih cenderung untuk menggunakan bahasa asing seperti bahasa Inggeris atau bahasa rojak dalam perbualan seharian? Adakah salah untuk saya menyuakan pendapat saya berkenaan isu ini? Pada saya, setiap individu mempunyai kebebasan untuk menyatakan pendapat masing-masing dan diharap pendapat saya ini merupakan pendapat yang membina, yang dapat memperbaiki lagi bahasa Melayu untuk lebih digemari oleh golongan muda.

Saya berpendapat bahasa Melayu kini tidak lagi mempunyai identiti yang tersendiri. Kebanyakan perkataan diperoleh melalui proses pinjam daripada bahasa Inggeris. Sebagai contoh, informasi daripada perkataan Inggeris "information". Selain itu, terdapat juga perkataan yang diperoleh melalui proses pinjam terjemah seperti perkataan muat turun daripada perkataan Inggeris "download".

Bukan itu sahaja, sering terdengar persoalan ini daripada adik saya, "Mengapa Kamus Dewan Bahasa seringkali mempunyai keluaran yang terbaru?". Mungkin juga kerana terdapat perkataan-perkataan baru yang ingin dimuatkan dalam kamus itu. Tetapi yang pelik, mengapa sesuatu perkataan itu sering ditukar ejaannya?


Bukankah ianya hanya menyebabkan kekeliruan dalam masyarakat memandangkan bukan semua orang mempunyai kesedaran untuk membelek kamus-kamus itu?


Justeru, bagaimanakah bahasa Melayu ini dapat memberi keyakinan kepada penggunanya sekiranya bahasa itu sendiri sering berubah dari semasa ke semasa?

Namun, walau bagaimana sekalipun bahasa ni, bahasa Melayu tetap bahasa ibunda kita. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa. Tanpanya, maka lenyaplah bangsa Melayu. Walau betapa majunya kita, asal-usul kita jangan dilupa. Bersama memartabatkan bahasa ibunda kita.